Cart 0

Cer Citer Yop - Tips Untuk Mengenali Perawat Islam Yang Didampingi Jin

Coretan ini sebenarnya merupakan “skrip” yang saya gunakan kepada semua pesakit-pesakit yang datang buat kali pertama di Pusat Rawatan Islam Isnad Tadawi. Oleh sebab saya sentiasa mengulangkan cerita yang sama, semua perawat-perawat di Pusat Rawatan Islam Isnad Tadawi pun sudah hampir boleh menghafalnya. Kadang-kadang kerana dah jemu mendengar siaran ulangan, mereka akan membawa diri sehinggalah sesi rawatan sebenar bermula barulah mereka datang semula untuk membantu saya.

Tajuk coretan ini ialah “Tips Untuk Mengenali Perawat Islam Yang Didampingi Jin”. Saya menggunakan perkataan “Perawat Islam Yang Didampingi Jin” dan bukan “Perawat Islam Yang Berdamping Dengan Jin” kerana terdapat ramai perawat yang sebenarnya tidak sedar bahawa mereka didampingi oleh jin. Bukan kemahuan mereka untuk “ber”damping tetapi mereka yang telah “di”dampingi oleh jin. Mereka sendiri sebenarnya tidak sedar bahawa mereka telah diperdayakan oleh konco-konco iblis.
 
Saya tahu dan amat pasti coretan ini akan “menghangatkan” banyak pihak. Pasti ramai yang akan murka dan merah muka kerana tidak bersetuju dengan apa yang saya ingin bongkarkan. Sememangnya saya insan yang lemah, yang masih banyak perlu belajar. Saya memohon maaf awal-awal kiranya saya tersilap. Walaubagaimanapun, apa yang hendak saya sampaikan adalah perkara-perkara yang berasaskan kepada ilmu yang telah saya pelajari daripada guru-guru saya, yang telah mengasaskan didikan mereka kepada Al-Quran dan Hadis. Saya telah lama membuat pemerhatian dan menganalisa maklumat-maklumat yang saya terima daripada pesakit-pesakit saya. Pembongkaran ini juga adalah hasil “tersasul” jin-jin yang telah berinteraksi dengan saya (tentunya berbual melalui mulut pesakit yang kerasukan. Tak tergamak saya hendak bercakap dengan jin secara terus). Kadang-kadang jin-jin ini sendiri menyesal apabila tersilap membongkarkan fakta-fakta ini kepada saya.
 
Bagi saya, setiap pesakit yang datang buat kali pertama di Pusat Rawatan Islam Isnad Tadawi mungkin akan datang buat kali pertama dan juga kali yang terakhir. Mungkin mereka merasakan tidak sesuai untuk berubat dengan kami di atas sebab masing-masing. Mungkin tempat kami terlalu jauh dari tempat mereka, mungkin tempoh kami merawat terlalu lama, mungkin kami tak cukup hebat, mungkin janggut kami tak cukup putih, mungkin juga sebab kami tak cukup handsome. Kami tak kisah kiranya mereka memilih untuk berubat di tempat lain. Tak kecil hati walau sedikit pun. Bahkan kami merasakan Allah telah meringankan beban ke atas kami. Cuma kami akan kecewa kalau mereka beralih ke tempat rawatan Islam yang mana perawatnya didampingi jin. Oleh itu, sejajar dengan misi “Amar Makruf Nahi Mungkar Dalam Rawatan” saya perlu menyampaikan tips-tips ini agar apabila pesakit-pesakit ingin mencari perawat Islam sejati, mereka dapat membezakan yang mana permata dan yang mana kaca. Semoga kita semua mendapat perlindungan Allah swt daripada serangan balas syaitan di kalangan jin dan manusia yang marahkan pembongkaran ini.
 
Tips 1: Nilai Kehebatan Perawat
 
Terdapat perawat yang amat hebat kebolehannya. Berikut adalah ciri-ciri yang menunjukkan betapa hebatnya mereka ini:


1) Ada perawat yang boleh mengetahui punca sakit pesakit sebelum sempat pesakit membuka cerita. “Aku dah tahu tujuan kamu ke mari….” . Lantas dia pun bercerita tentang masalah pesakit. Maklumat yang diberi semuanya tepat, sedangkan dia tak tahu pun latarbelakang masalah pesakit. Kadang-kadang perawat boleh tahu objek-objek yang ada di rumah pesakit. Macam cerita P. Ramlee pun ada. Pesakit pun dapat mengetahui apa yang mengganggu atau menyusahkan mereka selama ini.
 
2) Ada perawat yang akan bertanya nama pesakit. Ada yang perlu nama ibu pesakit sekali. Yang lebih hebat, tak perlu tanya nama pun. Ada juga yang hanya tengok gambar pesakit. Ada yang menengok dari jarak jauh. Lepas itu, perawat ini dapat memberitahu apa masalah pesakit. Saka, sihir, santau, terlangkah. Punca masalah pesakit pun terbongkarlah.
 
3) Ada perawat yang bersolat hajat dan terus dapat memberitahu jenis sakit si pesakit.
 
4) Ada perawat yang dapat memberitahu jenis jin dalam badan pesakit, siap dengan jantinanya sekali. Yang pernah saya dengar, “Dalam badan kamu ni ada 13 ekor jin. 7 jantan 6 betina”. Kecut perut pesakit mendengarkannya. Kasihan dia.
 
Kadang-kadang sebagai pesakit, kita amat berpuas-hati apabila bertemu perawat sebegini. Setidak-tidaknya kita tahu punca sakit kita. Tak kisahlah walaupun ada 13 ekor jin saka dan 41 ekor jin sihir dalam badan kita. Yang penting, hati kita puas sebab dah tahu siapa yang mengganggu kita atau mendengki kita.
 
Cuma  bagi mereka yang berfikir dan mempunyai sedikit ilmu tentu tidak mahu mendapat khidmat perawat sebegini. Pembongkaran ini bukannya kerana saya cemburu atas kehebatan mereka dan bukannya kerana saya ingin menjatuhkan mereka angkara rasa hasad dan rasa dengki yang menikam kalbu. Pembongkaran ini adalah kerana janji saya di Baitullah. Ramai di antara mereka yang mempunyai kehebatan ini tidak sedar sebenarnya mereka didampingi oleh jin. Mungkin bukan hasrat mereka untuk berdamping dengan jin, tetapi mereka sendiri telah terpedaya dengan tipu helah iblis. Dengan coretan ini saya berharap juga agar perawat-perawat sebegini dapat berfikir dan muhasabah kaedah rawatan mereka.
 
Di dalam Surah Al-A’raf ayat 27, Allah telah berfirman “Sesungguhnya syaitan itu dapat melihat kamu dari tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka”. Sebenarnya mata manusia itu telah dihijab oleh Allah untuk tidak dapat melihat syaitan. Antara sebab mengapa manusia tidak dapat melihat syaitan ialah kerana rupa mereka yang kurang “handsome”. Kita pasti akan merasa seram sejuk kiranya dapat melihat keayuan wajah mereka. Walaubagaimanapun, dengan izin Allah, ada manusia yang diganggu jin dapat melihat jin dalam bentuk jelmaan mereka (iaitu pocong, hantu raya, pontianak dan kaum kerabat mereka yang lain).  Apabila manusia diganggu atau disakat barulah jin menunjukkan wajah-wajah “kacak” jelmaan mereka. Sebenarnya perawat yang dapat melihat jin juga telah diganggu. Cuma gangguan ke atas mereka bukanlah disakat sepertimana pesakit disakat, tetapi gangguan ke atas perawat ini adalah dalam bentuk pendampingan jin ke atas mereka.
 
Kalau ada yang tak yakin dengan dalil di atas, cuba renungkan pula sirah Rasulullah saw. Renungkan saat Rasulullah saw disihir. Sebenarnya sihir ke atas Rasululllah saw, bukanlah jenis sihir yang menjatuhkan martabat baginda. Rasulullah saw cuma berasa tidak sedap badan dan tertanya-tanya samada Allah telah melakukan sesuatu ke atas baginda. Rasulullah saw juga berasa tidak pasti tentang perkara-perkara yang telah dilakukan baginda dan sering tertanya-tanya tentang perkara tersebut. Itu sahaja. Martabat baginda sebagai kekasih dan pesuruh Allah tidak langsung tercalar. Antara sebab mengapa Allah mengizinkan sihir ini berlaku, adalah supaya Rasulullah saw dapat mengajar kita cara-cara menangani sihir, khasnya melalui amalan Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas. Berbalik kepada kisah Rasulullah saw disihir. Rasululllah saw sebenarnya tidak tahu baginda telah disihir ataupun punca masalah baginda. Hal ini berlanjutan sehinggalah turun 2 Malaikat datang untuk merawat baginda. Pada ketika ini barulah Malaikat memberitahu Rasulullah saw bahawa baginda telah disihir oleh Labid iaitu seorang Yahudi yang mendengki baginda.
 
Kisah ini terbukti di dalam sebuah hadis sahih “Kata A’ishah ra, telah disihir Rasulullah saw oleh seorang lelaki daripada Bani Zuraiq dikatakan lelaki itu ialah Labid bin al-A’sam al-Yahudi. Rasulullah saw berasa tidak keruan, perkara yang telah dilakukan, baginda merasa ragu sudah dilakukan atau tidak. Nabi bertanya A’ishah, “Wahai A’ishah, apakah kamu tahu bahawa Allah swt  telah melakukan sesuatu ke atas diriku? Nabi menyambung dengan katanya, “ada dua orang laki-laki (iaitu Malaikat) datang kepada ku ketika aku sedang tidur, maka salah seorang berada di sisi kepalaku, seorang lagi berada di sisi kakiku, maka seorang daripadanya bertanya kepada kawannya, ‘apakah sebenarnya yang dideritai oleh Muhammad ini? Maka seorang lagi menjawab, dia telah disihirkan orang. Ditanya lagi, siapakah yang telah menyihirnya? Dijawab lagi, disihirkan oleh Labid bin al-A’sam. Ditanya lagi dengan apakah dilakukan sihir itu? Jawabnya, digunakan sikat rambutnya, dengan satu ikhtiar lain (sihir). Ditanya, di manakah diletakkan barang-barang tersebut? Dijawabnya, ditanam dalam sebuah perigi namanya Perigi Darwan. Maka ditanya lagi, dengan apakah kita akan merawatkan Muhammad ini? Maka dibacakan beberapa ayat dari al-Quran. Nabi Muhammad saw sedar dari tidurnya maka diberitahu kepada A’ishah, “Bahawasanya, Allah swt telah menyembuhkan aku dan aku tidak mahu hal ini menjadi fitnah di kalangan manusia dan aku telah sembuh.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
 
Maka kita harus berfikir dan mengambil iktibar daripada peristiwa ini. Rasulullah saw, seorang kekasih Allah swt, seorang manusia yang paling hebat di muka bumi ini, tetapi baginda tidak tahu apakah sakit yang menimpa diri baginda sendiri. Rasulullah saw tidak tahu baginda telah disihir. Akan tetapi, pada zaman sekarang, terdapat manusia boleh mengetahui sakit seorang manusia yang lain hanya dengan melihat muka pesakit, bertanya nama atau melihat gambar. Adakah manusia ini atau ustaz ini atau perawat ini lebih hebat daripada Rasulullah saw? Kata mereka, mereka mendapat “kelebihan” ini berkat zikir atau berkat mereka sentiasa hampir kepada Allah. Adakah zikir mereka atau munajat mereka atau amalan mereka lebih mulia daripada Rasulullah saw sehingga kebolehan mereka merawat seolah-olah lebih hebat daripada baginda?
 
Saya tak berapa pasti pula tentang perawat yang mendapat petunjuk melalui solat hajat. Tapi saya tertanya-tanya, kusyukkah solat mereka itu sebab semasa bersolat mereka boleh diberitahu pula  tentang perkara-perkara yang ghaib. Terus terang saya tak pasti tentang hal ini dan ianya masih dalam “Edisi Siasat” lagi. Tetapi yang saya amat pasti, syaitan juga mampu mengganggu manusia ketika kita bersolat. Macam-macam syaitan boleh bisikkan kepada kita semasa kita bersolat. Rasulullah saw sendiri pernah diganggu syaitan ketika baginda bersolat, lantas baginda menangkap dan mencekik syaitan itu kerana mengganggu baginda ketika solat. Ketika Rasulullah saw mengerjakan solat wajib, tiba-tiba baginda menggenggam tangannya. Selepas solat sahabat bertanya  “Wahai Rasulullah, apakah ada sesuatu yang baru dalam solat?” Rasulullah saw bersabda “Tidak, tetapi sesungguhnya syaitan hendak lalu di hadapanku, lalu aku cekik sampai tanganku berasakan dinginnya mulut syaitan itu. Demi Allah, seandainya saudaraku Nabi Sulaiman, tidak mendahuluiku, nescaya akan aku ikat syaitan itu pada salah satu tiang masjid ini supaya boleh dilihat oleh anak penduduk Madinah (Hadis Sahih Riwayat Ahmad, Daraqutni dan Thabarani).
 
Berbalik kepada kaedah menerima maklumat ketika solat hajat, adakah maklumat yang diterima sewaktu perawat ini bersolat hajat adalah juga satu bentuk bisikan syaitan? Perawat yang bijak dan berpengalaman tentu tidak mahu menerima maklumat ini bulat-bulat kerana dia tahu keupayaan syaitan dalam membuat tipu helah.
 
Perlu diingatkan bahawa syaitan sentiasa ingin memecah-belahkan umat manusia. Maka kebanyakan perawat yang didampingi jin akan mengatakan bahawa pesakit telah disihir orang. Biasanya penyihir adalah orang yang rapat dengan pesakit dan tidak disangka-sangka tergamak melakukannya. Apabila sahaja pesakit diberitahu sedemikian, teruslah timbul perasaan syak-wasangka dihatinya. Mulalah orang-orang di sekelilingnya menjadi mangsa tuduhan percuma. Syaitan pun segera memulakan pesta suka-ria.
 
Saya ingin menambah di sini, satu pesanan kepada mereka yang sakit. Janganlah mencari perawat dengan niat untuk mengetahui punca sakit kita. Memadailah untuk mengetahui samada kita menghidapi sakit medikal ataupun sakit gangguan jin. Tidak penting untuk tahu lebih daripada itu, kerana jin atau syaitan yang mengganggu itu semuanya adalah konco-konco iblis tidak kiralah samada masalah saka ataupun sihir, terlangkah ataupun terpijak. Tambahan pula apabila kita meminta perawat untuk “menengok” masalah kita, tidak jauh bezanya perbuatan itu daripada perbuatan menelek. Menengok dan menelek adalah adik-beradik sepusat sepusing kerana kedua-duanya bertujuan mendapatkan maklumat yang ghaib ataupun yang tidak nyata pada mata kasar. Orang biasa tidak boleh melakukannya kerana hanya mereka yang ada ilmu tertentu yang boleh menengok atau menelek. Hanya mereka yang didampingi makhluk ghaib yang mampu menengok atau menelek perkara ghaib.  Ingatlah sabda Rasululllah saw  ’Barangsiapa mendatangi ‘arraaf’ (tukang telek) tidak akan diterima solatnya selama empat puluh hari.” (Riwayat Muslim).  Rasulullah saw juga bersabda “Barangsiapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan, sungguh ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad saw.” (Riwayat Abu Daud). Oleh itu, jauhilah amalan meminta perawat untuk menengok-nengok tentang sakit kita, kerana apabila kita meminta sahaja, maka solat kita tidak akan diterima selama 40 hari. Apabila kita percaya kepada apa yang diberitahunya pula, maka takut-takut kita sudah syirik dan jatuh kufur kepada Allah swt.
 
 
Tips 2: Asal Ilmu Perawat
 
Ilmu rawatan adalah ilmu yang perlu dipelajari, perlu berguru. Sebenarnya semua ilmu perlu ada gurunya. Rasulullah saw sendiri berguru dengan Malaikat Jibrail apabila baginda menerima ayat-ayat Al-Quran. Tanyalah perawat tentang guru mereka dan jemaah mereka. Kiranya jawapan perawat adalah seperti di bawah, tinggalkanlah mereka:
1) Saya tidak berguru. Saya mendapat ilmu ini melalui mimpi.
2) Saya tidak berguru. Saya boleh merawat selepas sembuh daripada sakit teruk.
3) Saya tidak berguru. Tiba-tiba sahaja saya boleh merawat. Allah nak beri kelebihan ini kepada saya.
4) Saya tidak berguru. Ilmu ini saya dapat di Mekah dan ilmu saya bertambah setiap kali saya ke Mekah.
 
Biasanya mereka yang tidak berguru mempunyai kebolehan seperti yang dinyatakan dalam Tips 1.
 
Rasulullah saw bersabda “Sesiapa yang telah melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia telah melihat yang benar (al-Haqq).” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Apabila kita tidur, sebahagian roh kita akan keluar dari tubuh dan memasuki alam ghaib. Di alam ghaib, roh kita bertemu dengan banyak makluk ghaib termasuk jin dan syaitan. Jadi syaitan berupaya untuk mengajar atau memberi ilmu yang bathil kepada kita melalui mimpi. Jin Islam biasanya akan mengajarkan ayat-ayat Al-Quran. Apabila diamalkan ayat-ayat tersebut, jin itu akan datang kerana menganggap dirinya telah diseru.
 
Apabila kita sakit teruk, badan kita lemah dan mudah diganggu oleh syaitan. Pada ketika ini mudah bagi mereka mendampingi kita, lantas kita berupaya melakukan perkara-perkara yang luar biasa seperti merawat. Sama juga apabila pendinding diri kita lemah, syaitan mudah untuk membuat tipu daya sedangkan sebenarnya mereka mahu mendampingi kita.
 
DI Mekah terdapat banyak makluk Allah daripada pelbagai jenis. Semasa manusia bertawaf, malaikat pun turut bertawaf. Bahkan jin juga turut bertawaf. Di Masjidilharam ada tiang yang digelar tiang jin. Dalam jarak lebih kurang 2km dari Masjidilharam, terdapat masjid yang dipanggil Masjid Jin. Jadi tak mustahil manusia boleh “menandatangani kontrak” dengan jin ketika berada di Mekah, samada secara mereka sedar ataupun tidak. Segaja ataupun tidak. Ini semua dugaan ke atas manusia di Tanah Suci.
 
 
Tips 3: Asap
 
Kalau dulu, asap kemenyan digunakan untuk menyeru jin. Sekarang perawat sudah pandai “cover line” dengan menggunakan asap rokok (sebelum rawatan atau waktu berehat sekejap), asap ubat nyamuk, bahkan ada yang menggunakan asap daripada ais kering.
 
 
Tips 4: Buat kenduri
 
Kalau dulu, perawat minta disembelihkan ayam atau dibuat pulut kuning dan ayam golek. Lalu pesakit perlu meletakkan jamuan ini di bawah pokok besar. Perawat pun memberitahu kepada jinnya “Kamu pergi tunggu bawah pokok sana dan akan datang orang membawa makanan untuk kamu”. Ini dipanggil proses menjamu supaya jin datang membantu atau untuk merasuah jin supaya berhenti mengganggu. Mungkin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus mewujudkan satu cawangan khas untuk menangani masalah merasuah (menjamu) jin.
 
Sekarang perawat sudah pandai “cover line” juga. Pesakit diminta untuk membuat kenduri doa selamat di masjid, rumah sendiri atau rumah anak yatim. Bunyinya seolah-olah tiada masalah daripada segi syariah. Tetapi ianya bermasalah apabila perkara ini menjadi syarat dalam proses rawatan. Sebenarnya apa yang terjadi ialah perawat akan meminta jinnya untuk pergi ke masjid, rumah pesakit atau rumah anak yatim ketika kenduri doa selamat itu dilaksanakan. Biasanya, dalam situasi ini, perawat menggunakan jin Islam.
 
 
Tips 5: Membawa kain
 
Kain tidak menjadi masalah tetapi ianya bermasalah apabila perkara ini menjadi syarat dalam proses rawatan. Terdapat jin yang dijamukan (rasuah juga) dengan kain, contohnya kain berwarna kuning, merah, hitam, kain pelikat ataupun kain batik. Kadang-kadang bahan-bahan rawatan diletakkan di atas kain-kain ini untuk dijampi.  Ini dipanggil pengeras (rasuah la tu).  Pelik tapi benar, ada juga jin yang meminta pengeras duit 25 sen. Gaji penjawat awam dah naik, tapi gaji jin tetap 25 sen dari dulu sampai sekarang.
 
 
Tips 6: Bedah batin
 
Terdapat dua kaedah bedah batin:
1) Perawat hanya melakukan aksi-aksi melalui gerakan tangan sambil membaca ayat-ayat Al-Quran, lantas pesakit dapat sembuh. Kaedah ini menggunakan jin dan kaedah ini tidak pernah dibuat oleh Rasulullah saw. Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah mengharamkan kaedah ini. Harus ditekankan di sini bahawa Rasulullah saw tidak pernah membedah secara batin, tetapi baginda sendiri telah dibedah secara nyata /fizikal dan pembedahan itu dilakukan oleh Malaikat.
 
2) Perawat membedah secara fizikal dengan pisau atau gunting biasa. Kemudian ditampal tempat yang luka dengan selotape. Kemudian pesakit sembuh. Secara logiknya, bagaimana pembedahan yang berisiko tinggi boleh dilakukan tanpa alatan canggih dan tanpa bius. Kemudian boleh terus pulih dalam masa beberapa minit. Ini dinamakan sihir (melihat perkara yang sebenarnya tiada).
 
Amat penting untuk kita semua ketahui bahawa walaupun perawat membaca ayat-ayat Al-Quran, jin tetap boleh mendampinginya kerana jin pun boleh membaca ayat Al-Quran terutama jin Islam.
 
 
Tips 7: Merawat dengan telur
 
Perawat menggosok pesakit dengan telur dan pesakit sembuh ataupun bahan sihir, bisa atau batu karang dikeluarkan daripada tubuh pesakit. Sekiranya telur dibuka akan keluar bermacam-macam objek, itu dinamakan sihir (melihat perkara yang sebenarnya tiada).
 
Walaubagaimanapun yang lebih penting di sini, telur adalah merupakan antara makanan kegemaran jin. Apabila perawat menggosok atau menggolek telur ke badan pesakit, sebenarnya perawat itu sedang menjamu jin di dalam badan pesakit. Sama konsepnya dengan pulut kuning dan ayam golek di bawah pokok besar.  Jin sedang dirasuah. Harus diingat jin makan bukan macam manusia makan. Rasulullah saw pernah bersabda bahawa tulang makanan yang kita makan adalah makanan jin, tetapi kita tak pernah melihat tulang-tulang itu luak atau hilang dimakan. Maka telur yang dimakan oleh jin semasa digolek pada badan pesakit tidak akan luak juga.
 
 
Tips 8: Merawat dengan Malaikat
 
Perawat yang menggunakan khidmat khadam atau jin sudah tahu agak sukar untuk mereka mencari makan sekarang atau memasarkan perkhidmatan mereka. Maka mereka membuat proses “rebranding”. Kini perawat ini mengatakan mereka merawat dengan bantuan malaikat bukannya jin. Ramai pesakit yang tertipu dan merasakan perawat ini begitu hebat kerana para Malaikat pun sanggup menjadi pembantu perawat ini. Mungkin juga perawat itu sendiri tidak sedar bahawa mereka telah tertipu dengan helah syaitan yang begitu kreatif dalam menyesatkan manusia. Mungkin syaitan itu telah mengaku bahawa dirinya Malaikat. Tertipulah si perawat lagi.
 
 
Penutup
 
Kenapalah saya amat beriya-riya dan sanggup mengambil risiko demi membongkarkan rahsia perawat yang didampingi jin ini? Kenapa pula pesakit harus menjauhi perawat yang didampingi jin?
 
Pertamanya, di dalam Surah Al-Jin ayat 6 Allah telah berfirman, “Terdapat segolongan manusia lelaki meminta pertolongan daripada segolongan jin lelaki, dan jin itu telah menjadikan manusia itu bertambah sesat.”  Jadi sememangnya manusia tidak boleh bekerjasama dengan jin.
 
Keduanya, kita takut jin yang mendampingi perawat akan mendampingi pesakit pula. Ini memang terjadi kerana jin itu menganggap bahawa dialah yang menyembuhkan atau melindungi pesakit. Ramai pesakit yang selepas selesai berubat dengan perawat yang didampingi jin merasakan seolah-olah ada sesuatu yang memerhatikan mereka atau mereka mula melihat kelibat makhluk atau bermimpi bertemu makhluk ghaib.
 
Ketiganya, pesakit mungkin boleh cepat sembuh apabila dirawat dengan bantuan jin. Tetapi sebenarnya jin di dalam badan pesakit telah bertambah. Cuma jin-jin ini tidak menyakitkannya sahaja. Jin perawat dan jin yang mengganggu telah bersetuju dan membuat perjanjian MOU untuk tidak lagi menyakitkan pesakit. Walaubagaimanapun, jin-jin ini akan mengganggu dalam bentuk yang lain. Contohnya, pesakit dapat istiqomah melakukan solat-solat malam dan 4 solat fardhu tetapi tidak mampu langsung untuk bersolat subuh.
 
Inilah sebab-sebabnya pembongkaran ini amat penting sekali. Segala yang benar itu datangnya daripada Allah Yang Maha Pencipta, yang bathil itu datangnya hanya daripada kelemahan saya makhluk yang diciptaNya. Allahualam…